Makanan Tamat Tempoh, Boleh Makan Lagi?
Lapar... Tapi roti ni dah tamat tempoh,, membazir pulak kalau buang.. Boleh makan lagi ke?
Mesti ramai di antara kita rasa benda yang sama macam kak far rasa kan?. Baru beli roti tapi tak sempat makan, tarikh dah luput. Nak dibuang sayang, hendak dimakan belum tentu lagi selamat.
Adakah anda pernah terlintas, adakah makanan yang telah tamat tempoh selamat dimakan atau tidak? Ikuti jawapannya di bawah.
Bagaimana tarikh luput makanan ditentukan?
Pernahkah anda menjumpai tanda seperti ‘Guna Sebelum’ atau ‘Baik Sebelum’ dan diikuti dengan catatan tarikh? Sebenarnya, setiap frasa berikut mempunyai perbezaan dan kebanyakan daripadanya adalah amaran berkenaan kualiti makanan, bukannya amaran keselamatan. Adakah anda tahu bagaimana syarikat pengeluar makanan menentukan tarikh tersebut? Ia bergantung kepada kepada beberapa perkara iaitu:
- Bagaimana makanan tersebut dibungkus
- Bagaimana ia disimpan
- Suhu yang akan terdedah semasa dalam proses pengangkutan
- Tempoh masa yang diperlukan untuk dinyahbeku
- Suhu peti ais pengguna
Apakah maksud sebenar label makanan?
Ketahui maksud sebenar frasa-frasa berikut:
- ‘Baik Sebelum’ (Best if used by/before): Ini bermaksud bahawa kualiti makanan akan berada pada tahap terbaik sebelum tarikh yang dinyatakan. Biskut mungkin akan sedikit lemau selepas tarikh tersebut.
- ‘Dijual Sebelum’ (Sell by): Ini adalah tarikh yang ditetapkan oleh pengeluar kepada peruncit, berkenaan tarikh produk tersebut perlu dikeluarkan daripada rak jualan. Ini adalah untuk memastikan agak pengguna mendapatkan produk dengan kualiti terbaik.
- ‘Guna Sebelum’ (Use by): Ini adalah tarikh terakhir jaminan kualiti terbaik sesuatu produk makanan tersebut. Ini juga bukanlah tarikh keselamatan sesuatu makanan melainkan jika ia digunakan keatas susu formula bayi.
Tarikh luput tamat, boleh makan atau tidak?
Makanan yang tidak memerlukan penyejukan untuk tahan lama seperti bijirin, makanan kering dan makanan dalam tin masih boleh dimakan walaupun tarikhnya telah tamat. Tetapi bagi makanan berasaskan daging, tenusu dan telur, ia adalah tidak selamat.
Cara terbaik untuk mengenal pasti sekiranya sesuatu produk makanan itu masih selamat atau tidak adalah dengan menggunakan deria bau dan rasa anda. Pada kebiasaannya, makanan yang telah tamat tempoh akan mengandungi kulat, bakteria dan yis, yang menyebabkannya memberikan isyarat amaran kepada deria bau dan rasa anda. Makanan yang telah rosak akan mempunyai tekstur, warna, bau dan rasa yang berbeza. Berikut merupakan antara anggaran cadangan tempoh untuk sesuatu makanan selamat dimakan walaupun tarikh yang dinyatakan telah tamat:
- Makanan dalam tin - kebanyakan makanan dalam tin boleh bertahan antara 1 hingga 4 tahun. Sekiranya anda menyimpannya di dalam tempat yang sejuk dan gelap, tempoh luputnya boleh bertambah antara 3 hingga 6 tahun lagi.
- Makanan sejuk beku - tempohnya lebih kurang sama sebagaimana makanan dalam tin kecuali daging.
- Telur - letakkan telur di dalam air. Sekiranya ia terapung, ini bermakna jumlah bakteria adalah tinggi dan tidak selamat dimakan. Bakteria telah menghasilkan gas di dalam telur yang menyebabkan telur tersebut terapung.
- Pasta atau mi kering - makanan kering seperti ini amat sukar untuk rosak kerana tidak terdapat kandungan air. Anda boleh menggunakannya selagi mana ia tidak mempunyai bau yang pelik.
- Roti - anda boleh menyimpannya lebih lama daripada tarikh yang tertera sekiranya anda menyimpannya di dalam peti sejuk. Selagi mana kulat kelihatan tidak tumbuh, ia masih selamat dimakan.
Atikal dipetik di HELLO DOKTOR
0 Comment